16 MAC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memastikan pengeluaran khas RM10,000 yang baru diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipermudahkan, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan memberi jaminan itu dan berkata, perbincangan mengenai perkara tersebut telah selesai dilakukan.
“Saya baru habis berbincang dengan KWSP. Mereka akan memastikan agar pengeluaran khas KWSP ini dipermudahkan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Hari ini, kerajaan mengumumkan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Ismail Sabri Yaakob berkata, pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.