17 MAC: Telekom Malaysia Bhd (TM) bersedia menawarkan produk dan penyelesaian berkeupayaan 5G kepada pelanggan unifi dan TM ONE.
Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu sedang melaksanakan ujian rangkaian dan pelanggan dalaman untuk memberikan tawaran konvergens fiber yang dipertingkatkan bagi perkhidmatan 5G kepada pelanggan kedua-dua perkhidmatan itu.
“Ini bergantung kepada perjanjian borong muktamad bersama Digital Nasional Bhd (DNB),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
TM berkata, ia menyambut baik dan menyokong keputusan kerajaan untuk meneruskan model rangkaian borong tunggal bagi pelaksanaan 5G di negara ini.
“Kami percaya ia mencerminkan aspirasi nasional bagi digital Malaysia yang inklusif,” katanya.
TM berkata, keputusan yang dibuat oleh kerajaan berhubung pelaksanaan 5G itu membolehkan syarikat telekomunikasi melabur dan membangunkan produk serta penyelesaian 5G inovatif kepada pengguna akhir.
Ia berkata, DNB boleh memberikan tumpuan kepada membina rangkaian bagi memberikan liputan dan kapasiti lebih pantas pada kos yang cekap.