17 MAC : Dua maut, manakala 92 yang lain cedera selepas gempa bumi kuat melanda timur laut Jepun lewat malam Rabu, dengan ombak tsunami dilapor kelihatan selepas Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran bencana itu.
Agensi Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana seperti dilapor Xinhua menyatakan angka maut dan mangsa yang tercedera direkodkan sehingga jam 6.30 pagi waktu tempatan Khamis, dengan semua yang cedera membabitkan tujuh wilayah termasuk Miyagi dan Fukushima, di mana gempa itu didaftarkan pada magnitud 7.4.
Gegaran kuat dirasai di kawasan timur laut dan timur negara itu, terutamanya di Wilayah Miyagi dan Fukushima di mana gempa itu berlaku melepasi enam pada skala keamatan seismik Jepun, dengan tujuh adalah puncak.
Gegaran dilapor berlaku kira-kira jam 11.36 malam waktu tempatan pada Rabu di utara garis lintang 37.7 dan timur garis bujur 141.7 pada kedalaman 60 kilometer (km).
Amaran tsunami sehingga satu meter dikeluarkan ke kawasan pantai di Wilayah Miyagi dan Fukushima, dengan penduduk digesa menjauhi pantai.
Xinhua melaporkan gelombang tsunami terawal dilapor tiba di bandar Ishinomaki di timur Prefektur Miyagi pada jam 11.50 malam waktu tempatan, dengan ketinggian satu meter, disusuli gelombang tsunami berganda setinggi satu meter sekitar 12.20 pagi Khamis di beberapa bandar di Wilayah Miyagi dan Fukushima.
Sebahagian perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen juga digantung pagi Khamis selepas gempa bumi menyebabkan kereta api tergelincir.
Syarikat Lebuhraya East Nippon menutup sementara beberapa bahagian lebuh raya, termasuk Lebuhraya Tohoku di Osaki, Wilayah Miyagi dan Lebuhraya Joban di Soma, Fukushima.
Gempa bumi juga menyebabkan Soma di Fukushima bergelap berdasarkan kepada pegawai di bandar itu.
Menurut Xinhua lagi, bandar Tokyo turut merasai gegaran kuat dan bekalan elektrik terputus juga dilapor di beberapa bahagian bandar itu dan kawasan sekitarnya selepas gempa.
Syarikat bekalan elektrik Tokyo (TEPCO) berkata, kira-kira dua juta kediaman terputus bekalan elektrik dan syarikat itu yang juga operator loji nuklear Fukushima Daiichi mengesahkan pekerjanya sedang memeriksa sama ada fasiliti itu terkesan akibat gempa.
Pejabat Perdana Menteri Jepun sudah mewujudkan pusat kecemasan sebagai tindak balas kepada gempa bumi yang berlaku. – BERNAMA