17 MAC : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berpuas hati dengan perjalanan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang disifatkannya berjalan lancar.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, sempat meluangkan masa di sebalik jadual padat dengan meninjau perjalanan mesyuarat ketiga-tiga sayap.
Beliau berkata, pembahas mengemukakan pelbagai cadangan yang baik demi masa depan parti.
“Saya sempat meninjau persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri dan Alhamdulillah, saya lihat perjalanan mesyuarat berjalan dengan lancar.
“Saya dapat mendengar pembahas daripada tiga sayap dan juga tulang belakang (UMNO) iaitu Wanita dan pembahas dapat membahaskan dengan baik dan memberikan cadangan yang baik demi masa depan parti,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau perjalanan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung sepenuhnya secara bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Perdana Menteri yang tiba pada jam 10.56 pagi menerima tepukan gemuruh perwakilan daripada ketiga-tiga sayap UMNO ketika melakukan tinjauan, malah ada perwakilan sedia menantinya untuk berswafoto.
Semalam, perhimpunan agung sayap itu dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – BERNAMA