18 MAC: Bintai Kinden Corporation Bhd (Bintai Kinden) dan Institut Jantung Negara Sdn Bhd (IJN) hari ini memeterai Perjanjikan Kerjasama untuk membangunkan vaksin COVID-19 di negara ini.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu berdasarkan perkongsian sedia ada antara subsidiarinya iaitu Bintai Healthcare Sdn Bhd (BHSB), Generex Biotechnology Corp (Generex) dan NuGenerex Immuno-Oncology Inc bagi memajukan pengkomersialan vaksin Ii-Key-SARS-CoV-2 coronavirus (COVID-19) di Malaysia.
“Di bawah Perjanjian Kerjasama ini, Bintai Kinden akan bertanggungjawab untuk memperkenalkan vaksin COVID-19 di Malaysia manakala IJN akan menerajui dan melakukan ujian klinikal vaksin seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“IJN akan menjadi Organisasi Penyelidikan Klinikal dan satu daripada tapak kajian bagi Bintai Kinden di bawah rancangan pembangunan komersial vaksin di Malaysia,” kata kenyataan itu.
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai, berkata, perkongsian dengan IJN itu akan membawa syarikat selangkah lebih dekat untuk memperkenalkan vaksin COVID-19 baharu di Malaysia.
“Selepas Generex menerima kelulusan penuh Pertadbiran Makanan dan Dadah (FDA) untuk vaksin itu dan menyediakan dokumentasi sepenuhnya kepada BHSB, maka BHSB akan memulakan proses pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Malaysia bagi vaksin ini,” tambah beliau.