18 MAC : Datuk Hakimah Mohd Yusoff mencipta sejarah menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu berkuat kuasa Isnin ini.
Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, pemilihan Hakimah yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah JAKIM untuk menduduki jawatan tertinggi JAKIM adalah berdasarkan perkhidmatannya selama 30 tahun khusus dalam jabatan itu.
“Pelantikan ini menjadi sejarah kepada JAKIM, apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita, sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam.
“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu JAKIM ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Zuki berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Pelantikan Hakimah sebagai Ketua Pengarah JAKIM bagi menggantikan Datuk Abdul Aziz Jusoh yang bersara wajib pada 9 November lalu.
Hakimah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) daripada Universiti Malaya (UM) pada 1990 dan Ijazah Sarjana daripada Universiti Putra Malaysia pada 2001.
Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM pada 1992.
Beliau juga sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM
.