18 MAC: Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini menggunakan singkatan baharu iaitu K-KOMM, manakala menterinya dirujuk sebagai MenKOMM.
Dalam pemakluman yang dikeluarkan kementerian itu hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pemakaian singkatan baharu itu bermula semalam.
Menurut K-KOMM, pemakaian singkatan baharu itu bertujuan mengelak kekeliruan orang ramai antara kementerian dengan agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain memudahkan sebutan dalam semua urusan.
Sebelum ini, singkatan bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia adalah KKMM.
K-KOMM bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh dan inklusif serta membangunkan ekonomi digital melalui pemerkasaan teknologi maklumat dan komunikasi negara.
Ia juga bertanggungjawab memperluas dan memperdalamkan penyampaian serta menyebarkan maklumat secara strategik bagi mencapai visi kementerian untuk mewujudkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital. – BERNAMA