18 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) akan menugaskan lebih 2,000 penguat kuasa bagi memantau bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara terutama memastikan tiada kenaikan harga yang tidak manusabah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata, pemantauan dan pemeriksaan turut dilaksanakan di pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit.
Katanya, selain memantau harga bagi mengelak unsur pencatutan, operasi juga dilakukan bagi memastikan keberadaan barangan keperluan asas.
“Ada yang meramalkan bahawa harga akan naik puasa ini, jadi kita berharap peniaga dan pengusaha supaya jangan terbabit dengan mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan dan menganiayai pengguna.
“Kita pantau secara menyeluruh harga barangan ini terutama yang berasaskan telur dan ayam bagi memastikan tiada unsur pencatutan,” katanya pada Program Penyeragaman Harga (PPH) di Kampung Baru, Pulau Redang, Kuala Nerus, hari ini.
Rosol berkata, kerjasama peniaga dan orang ramai diperlukan supaya barangan asas sentiasa dijual dengan harga berpatutan.
Beliau meminta orang ramai untuk membuat aduan kepada KPDNHEP jika mendapati barangan keperluan dijual pada harga tidak munasabah atau ada sebarang salah laku peniaga.