18 MAC: Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menafikan menerima surat peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz seperti yang ditularkan dalam media sosial.
Kementerian itu melalui laman Twitter rasminya berkata, Tengku Zafrul kekal fokus untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela dalam pemulihan ekonomi negara daripada belenggu pandemik COVID-19.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan sepucuk surat tular dalam media sosial, yang didakwa surat peletakan jawatan Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan.
Surat itu tular sehari selepas laporan dan penafian Tengku Zafrul berhubung peletakan jawatan beliau, semalam. – BERNAMA