Sekitar 4,000 bagi selesai isu kekurangan guru
18 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) hanya memerlukan sekitar 4,000 guru bagi menyelesaikan isu penempatan dan kekurangan guru di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketika ini hampir 14,000 guru sudah diambil menerusi pengambilan khas secara ‘one-off’ dan penempatan mereka akan dimaklumkan, bermula hari ini.
Katanya, baki daripada keseluruhan 18,702 orang yang diambil secara pengambilan khas itu masih belum mempunyai penempatan dan akan diselesaikan dengan segera.
“Alhamdullilah, hari ini kita akan ada penempatan baharu bagi mereka yang akan diambil secara ‘one off’ untuk menjadi guru.
“Hanya sekitar 4,000 yang akan diambil dan ini adalah satu proses yang sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas program penyerahan kunci SMK Bandar Saujana Putra, di sini, hari ini.
Beliau berkata, isu kekurangan guru menjadi masalah utama yang terus menekan sistem pendidikan dan ia perlu diselesaikan segera.
Beliau berkata, jurang kekurangan 18,000 guru itu diselesaikan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Selain itu, Radzi berkata, isu pertukaran guru juga menjadi kejayaan KPM hari ini kerana ia tercatat sebagai yang tertinggi dalam sejarah pendidikan negara.
“Kali ini, kita meluluskan lebih 55 peratus permohonan berbanding sebelum ini, sekitar 20 peratus ke 30 peratus sahaja.
“Kita beri keutamaan kepada pergerakan guru lama terdahulu sebelum melaksanakan pengambilan guru baharu,” katanya.
Katanya, tiga buah negeri yang jumlah pertukaran guru minimum iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu juga memperoleh manfaat dengan tindakan proaktif KPM dalam isu berkenaan.