19 MAC: PAS tetap teguh dalam perjuangan dan sesekali tidak akan takut pada kekalahan meskipun berdepan pelbagai ujian.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PAS sebuah parti yang tabah dan berjaya menempuh sebuah perjuangan yang panjang termasuklah pemimpin bersilih ganti.
“Kita biasa kalah. Dia (parti lain) yang selalu menang, apabila kalah sekali ‘lembik lutut’. Jangan berasa hina jika melihat musuh kamu dalam keadaan begitu, mereka sakit, berasa takut, takut kalah.
“Kita tidak takut, kita terus langsungkan perjuangan sehingga akhir hayat,” lapor Sinar Harian hari ini.
Tambah beliau, PAS merupakan parti yang paling lama boleh melangsungkan perjuangan sehingga hari ini.
“Parti lain, apabila pemimpin mati, parti mati, apabila pemimpin lemah, parti pun lemah. Kita, apabila ada pemimpin yang lemah, (namun apabila) ada pemimpin mengambil alih, (beliau) melangsungkan perjuangan. Ini kehebatan kita,” katanya.
Beliau berkata, ia dibuktikan dengan keupayaan PAS kini yang mentadbir tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain bersama kerajaan pusat.
“Ini baharu satu permulaan. Kita baharu berada dalam ‘gear’ satu bagi sebuah kenderaan belum lagi masuk ‘gear’ kelima,” katanya.
Abdul Hadi turut berpesan supaya ahli-ahli PAS sentiasa beristiqamah dan tidak terpengaruh atau terikut-ikut dengan golongan tertentu.