19 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 24,241 kes positif baharu COVID-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,951,678 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 26,615 kes sembuh turut dilaporkan dengan sejumlah 3,623,068 kes sudah pulih sepenuhnya.
Beliau berkata, daripada kes baharu yang dilaporkan itu, sebanyak 23,720 kes dalam penularan tempatan membabitkan seramai 22,893 warganegara (96.5 peratus) dan 827 bukan warganegara (3.5 peratus) manakala daripada 521 kes import, 487 pesakit adalah rakyat Malaysia manakala 34 adalah warga asing.
“Daripada 24,241 kes harian yang dilaporkan semalam, sebanyak 9,801 kes atau 40.43 peratus dalam Kategori 1; Kategori 2 mencatat seramai 14,255 kes (58.81 peratus); Kategori 3 (67 kes atau 0.28 peratus); Kategori 4 (65 kes atau 0.27 peratus); dan 53 kes atau 0.21 peratus dalam Kategori 5.
“Selain itu, daripada 185 kes COVID-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam, sebanyak 60 kes (32.43 peratus) membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 71 kes (38.38 peratus) terdiri daripada mereka yang menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 54 kes (29.19 peratus) sudah menerima dos penggalak.
“Sebanyak 109 kes (58.92 peratus) adalah mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas; sebanyak 84 kes (45.41 peratus) mempunyai komorbid; dan satu kes (0.54 peratus) kes ibu hamil,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengesan tiga kluster baharu jangkitan COVID-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,905 kluster COVID-19.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 6,573 kluster sudah ditamatkan dan 332 kluster masih aktif.
Katanya, setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 383 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 222 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Pada masa sama, Malaysia mencatatkan nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) pada paras 0.92 setakat semalam.
Sarawak masih mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.10 diikuti Kuala Lumpur pada 1.04; Terengganu (1.03); Negeri Sembilan dan Perak masing-masing pada paras 1.02 dan masing-masing pada kadar 1.00 bagi Putrajaya, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka.
Dr Noor Hisham berkata, tujuh negeri mencatatkan Rt bawah 1.00 iaitu Johor pada 0.99; Pahang (0.97); Kedah (0.93); masing-masing 0.89 di Kelantan dan Perlis; Labuan (0.76) dan Sabah(0.66).