19 MAC: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 adalah persidangan parti itu yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Beliau berkata, ia berdasarkan pengumuman-pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.
“Tarikh pilihan raya akan dibincangkan di peringkat Top 5 (pemimpin tertinggi) UMNO sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Seri Paduka.
“Kestabilan adalah asas kepada segala-galanya. Tanpa kestabilan atau rapuh, apa yang terancang akan ke longkang, segala diatur akan tersungkur, segala yang disyor akan berkubur.
“Tanpa kestabilan, PM yang terbaikpun akan menghadapi kecelaruan,” katanya dalam ucapan penggulungan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur semalam.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, jika UMNO bersiap siaga, Barisan Nasional (BN) juga mesti bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
“Kita harus tahu, jika sudah siap sedia for business (pilihan raya), jentera kita juga harus bersiap sedia,” katanya yang mahu UMNO jadi kerajaan yang dominan.
Katanya, UMNO akan mewujudkan sekolah politik yang dikenali sebagai Pusat Demokrasi Rakyat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Khalid Nordin dengan ketua pengerusi eksekutif Datuk Seri Dr Zamry Abdul Khadir.
Tambahnya, turut diwujudkan kerusi penyelidikan berkembar dengang kerjasama sebuah universiti ternama tempatan dengan modal RM5 juta daripada UMNO Malaysia.
“Ketiga, sistem pendidikan yang ada sekarang, UMNO ingin cadangkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasiona (TVET) reskilling dan upskilling mesti dilakukan agar ramai yang menganggur atau hilang pekerjaan dapat diberikan keutamaan termasuk anak-anak lepasan tingkatan lima,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UMNO juga akan menampilkan 70 peratus muka baharu sebagai calon dalam pada PRU-15 akan datang.
Menurutnya, perkara itu sudah dirunding dalam perbincangan dalam kalangan lima pemimpin tertinggi parti.
“Begitu juga mereka yang berumur bawah 50 tahun, jangan risau. Ketua Bahagian kalau termasuk dalam konsep ‘WALI’, Insya-Allah.
“Pemuda, Wanita dan Puteri jangan khuatir, ketiga-tiga sayap ini akan diberikan tempat,” katanya.