20 MAC : Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur atas kejayaan pasukan pembedahannya melakukan pembedahan pemisahan pasangan kembar siam pramatang pertama di Malaysia.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan pasukan pembedahan HTA itu yang sekali gus turut mencipta sejarah sebagai pembedahan pertama seumpamanya di Malaysia.
Pembedahan pasangan kembar siam pramatang yang berusia 17 hari tersebut diketuai Datuk Dr. Zakaria Zahari dan melibatkan 13 doktor pakar, termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara, berserta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak mencipta sejarah apabila ia berjaya dilaksanakan.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa syukur apabila pasangan bayi kembar siam jenis Omphalophagus tersebut berjaya dipisahkan tanpa komplikasi.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar pasangan bayi kembar siam tersebut berada dalam keadaan yang baik dan segera pulih serta dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.