20 MAC : Sejumlah 22,341 kes baharu COVID-19 telah direkodkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu di negara ini meningkat kepada 3,974,019 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, 21,817 kes adalah penularan tempatan, manakala 524 membabitkan kes import.
“Daripada keseluruhan kes baharu semalam, katanya, lebih 99 peratus adalah pesakit dalam kategori 1 dan 2, hanya 0.68 peratus pesakit kategori 3 hingga 5. Kategori 1 membabitkan 10,181 kes (45.57 peratus), 12,007 kes kategori 2 (53.75 peratus), 58 kes kategori 3 (0.26 peratus), 45 kes kategori 4 (0.2 peratus) dan 50 kes kategori 5 (0.22 peratus).
“Daripada 153 kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 semalam, 48 kes (31.37 peratus) tidak atau belum lengkap divaksinasi, 61 kes (39.87 peratus) sudah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 44 kes (28.76 peratus) telah menerima dos penggalak,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Selain itu, sejumlah 96 daripada 153 kes (62.75 peratus) membabitkan individu berumur 60 tahun dan ke atas dan 71 kes (46.41 peratus) pula mempunyai komorbid.