20 MAC : Pengumuman berhubung perincian mengenai mekanisme dan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 yang dijadual bermula 1 Mei ini akan diumumkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata kementeriannya menyambut baik pelaksanaan kadar gaji minimum baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, semalam.
“Pengumuman itu jelas seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekerja.
“Langkah ini juga dijangka memberi sumbangan positif dalam merangsang ekonomi negara melalui peningkatan kuasa beli pekerja,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO semalam mengumumkan kadar gaji minimum baharu RM1,500 mula dilaksanakan bermula 1 Mei ini di seluruh negara, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di sini.
Bagaimanapun menurutnya, pelaksanaan yang akan bermula pada Hari Pekerja itu hanya akan membabitkan majikan syarikat besar terlebih dulu.
Katanya, kerajaan akan menangguhkan dulu pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi yang berdepan pengurangan pendapatan atau tidak mampu membayar kadar berkenaan.
Minggu lalu, Saravanan juga telah mengumumkan penetapan gaji minimum baharu RM1,500 yang pada mulanya dijadual dilaksanakan pada hujung tahun ini, akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas mengambil kira situasi ekonomi yang bertambah baik.