20 MAC : Pembayaran fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 28 Mac ini.
Sebanyak 8.6 juta penerima akan menerima bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima merangkumi 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang, melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2.0 bilion
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bayaran dilaksana bulan ini bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan 1443H
“Cara pembayaran adalah dengan terus dikreditkan ke akaun bank manakala pembayaran penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak akan bermula pada 30 Mac 2022 melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa. Semakan status kelulusan BKM boleh dibuat mulai 28 Mac 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Perdana Menteri, bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei 2022 untuk tempoh sebulan.
Jelasnya, proses ini adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh LHDNM.
“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya lagi.