20 MAC : Pembukaan semula sempadan negara akan kembali merancakkan sektor ekonomi Malaysia dan Thailand serta meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, sama seperti yang berlaku sebelum penularan COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata keputusan kerajaan membuka sempadan pada 1 April nanti amat dinantikan semua pihak khususnya mereka yang terkesan akibat pandemik berkenaan.
“Kita (Malaysia) mempunyai hubungan baik dengan Thailand dari segi ekonomi dan pelancongan, keputusan pembukaan sempadan amat dinantikan.
“Kelantan mempunyai tiga pintu utama rasmi untuk keluar masuk ke Thailand ipa
aitu di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga, maka apabila sempadan dibuka ia akan meningkatkan perniagaan dan (sektor) pelancongan di bandar itu serta bandar berdekatan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Tanah Merah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.
Ismail Sabri dilapor berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jeli itu berkata, sektor perniagaan dan pelancongan dijangka memerlukan tempoh enam bulan hingga setahun untuk kembali pulih sebaik pintu sempadan negara dibuka.
“Sudah pasti kita memerlukan masa, ia tidak berlaku serta-merta, sebaliknya perlu mengambil masa mungkin enam bulan atau setahun sebelum kembali kepada (keadaan) sebelum COVID-19,” katanya. – BERNAMA