21 MAC: Mariupol, bandar pelabuhan di timur Ukraine, menyaksikan pengeboman dan pertempuran paling hebat semalam sejak Russia mula menyerang pada 24 Februari lalu.
Pihak berkuasa tempatan berkata, kira-kira 400,000 orang terperangkap di bandar pelabuhan strategik di Laut Azov dengan sedikit akses kepada air, makanan, pemanasan atau elektrik, sejak lebih dua minggu lalu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, kelmarin berkata pengepungan Russia terhadap Mariupol adalah ‘keganasan akan diingati selama beberapa abad akan datang’.
Kementerian Pertahanan Russia semalam meletakkan kesalahan ke atas ‘nasionalis Ukraine’ susulan ‘malapetaka kemanusiaan’ di Mariupol dan memberi bandar itu hingga awal pagi ini, untuk menyerah diri dengan 59,000 orang sudah dipindahkan sejak tiga hari lalu, lapor agensi berita TASS.
Seorang pustakawan di sebuah universiti, Irina Chernenko, yang berlindung selama 11 hari di ruang bawah tanah dan kini menjadi rumahnya, mengakui tidak tahu berapa lama lagi boleh bertahan seperti itu.
“Kami mengharapkan yang terbaik untuk hidup sebagai manusia. Blok pangsapuri, semuanya musnah.
“Ke mana kami boleh pergi dari tingkat bawah tanah? Ketika ini kami mempunyai sedikit makanan dan kayu api yang mungkin habis dalam tempoh seminggu,” katanya.
Beberapa bahagian di bandar itu dikawal tentera Russia, manakala bakinya kekal di bawah kawalan Ukraine dengan penduduk tidak mengetahui nasib keluarga yang menetap di daerah lain.
Pekerja tadika, Natalia, berkata dia tinggal bersama anaknya dan tidak boleh pulang ke kediamannya di seberang bandar.
“Tiada berita atau maklumat. Semuanya musnah. Kami tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan,” katanya. – REUTERS