KKM lulus Convidecia CanSino sebagai dos penggalak heterologous
21 MAC : Anak syarikat milik penuh Solution Group Bhd (SGB), Solution Biologics Sdn Bhd, rakan kongsi pembuatan ASEAN CanSino Biologics Inc (CanSinoBIO) hari ini mengumumkan bahawa vaksin dos tunggal Convidecia CanSino sudah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk digunakan sebagai pemvaksinan secara campuran atau dos penggalak heterologous.
Dos penggalak heterologous merujuk kepada vaksin penggalak yang diberikan dengan vaksin yang berbeza daripada vaksin yang diberikan sebelum ini, kata SGB dalam satu kenyataan.
“KKM dalam satu pengumuman hari ini meluluskan Convidecia untuk digunakan sebagai dos penggalak heterologous, dos penggalak bagi dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang sudah melengkapkan dua dos vaksinasi Sinovac dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata kelulusan KKM itu memberi rakyat Malaysia lebih banyak pilihan vaksin untuk suntikan dos penggalak dan apa yang lebih penting, menekankan keselamatan dan keberkesanan Convidecia sebagai vaksin dalam mencegah jangkitan COVID-19.
Mohd Nazlee berkata, kelulusan itu juga bermakna Convidecia kini boleh membantu usaha kerajaan untuk pemberian dos penggalak dalam jumlah yang tinggi dalam memerangi varian Omicron terutamanya dalam kumpulan berisiko seperti warga emas dan mereka yang mempunyai daya tahan imun rendah.
“Penggunaan dos penggalak daripada vaksin berbeza dengan vaksin yang diberikan sebelum ini juga lebih berkesan dengan tindak balas imun lebih tinggi berbanding menggunakan vaksin sama untuk suntikan dos penggalak,” katanya.
Menggariskan keberkesanan penggunaan vaksin heterologous itu, keputusan percubaan klinikal menunjukkan bahawa mereka yang menerima dos tunggal Convidecia sebagai dos penggalak selepas melengkapkan vaksinasi menunjukkan bahawa ia selamat dan mempunyai kadar keberkesanan yang tinggi. – BERNAMA