21 MAC: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disambut dengan hamparan permaidani merah sebaik tiba di pekarangan Istana Presiden di Hanoi hari ini.
Beliau yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, disambut oleh rakan sejawatnya dari Vietnam Pham Minh Chinh dan beliau diberikan sambutan rasmi sebaik tiba.
Lagu kebangsaan Malaysia ‘Negaraku’ dan lagu kebangsaan Vietnam ‘Tien Quan Ca’ dimainkan pada majlis itu dan beliau diiringi oleh Chinh untuk memeriksa perbarisan kawalan kehormat.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya menuju ke Pejabat Perdana Menteri untuk sesi bergambar di lobi bangunan Pejabat Kerajaan, sebelum berlalu ke bilik mesyuarat bagi menyaksikan sesi pertukaran dokumen.
Dokumen berkenaan melibatkan memorandum persefahaman (MOU) berhubung aktiviti kerjasama perundangan dan kerjasama perburuhan, pengambilan serta penghantaran pulang pekerja, surat niat berhubung kerjasama dalam latihan diplomatik serta perjanjian kerjasama profesional Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Agensi Berita Vietnam (VNA).
Ismail Sabri dan rombongannya kemudian akan menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Chinh di bangunan Pejabat Kerajaan.
Pada sebelah petangnya Perdana Menteri dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc, diikuti perjumpaan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan kemudiannya bertemu Pengerusi Dewan Rakyat (Chairman of the National Assembly), Vuong Dinh Hue.
Kunjungan sulung Perdana Menteri ke Vietnam ini adalah atas undangan Chinh.