22 MAC: Kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menambah baik fungsi perundangan dan memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin berkata ini termasuk memperkenalkan beberapa peruntukan baharu di bawah Akta SPRM 2009, Akta 694.
“SPRM melalui Pelan Anti Rasuah Nasional (MACP) 2019-2023 menerajui 11 inisiatif serta menjadi agensi sokongan bagi 22 inisiatif yang lain termasuk inisiatif memperkasakan SPRM.
“MACP 2019-2023 ini telah pun menggariskan inisiatif memperkasakan SPRM termasuklah pelantikan ketua suruhanjaya, peruntukan kewangan, jawatankuasa pemantau, penubuhan suruhanjaya perkhidmatan dan tenaga kerja,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Datuk Seri Haji Salahuddin Ayub (PH-Pulai) di Dewan Rakyat hari ini berkaitan langkah-langkah proaktif Kerajaan untuk meningkatkan kewibawaan SPRM dalam menghadapi kes-kes rasuah yang semakin kritikal.
Mengulas soalan tambahan Salahuddin berkaitan penubuhan satu badan berautoriti untuk memperkasa jawatankuasa pemantau, Mas Ermieyati memberitahu SPRM telah mempunyai lima jawatankuasa yang dipantau lima panel bebas iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Perundingan Pencegahan Rasuah serta Panel Penilaian Operasi
“Setiap jawatankuasa ini mempunyai mekanisma masing-masing yang berfungsi menyemak dan menyeimbang terhadap penunaian fungsi suruhanjaya itu.
“Bagaimanapun dengan cadangan penubuhan badan berautoriti oleh YB itu (Salahuddin) akan kita beri maklum balas,” katanya.