22 MAC: Mulai tahun ini, semua kes kematian dalam tahanan polis akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Beliau berkata, kes berkenaan tidak lagi disiasat oleh anggota atau pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) atau lokap di mana kejadian kematian itu dilaporkan.
“Ini bagi memastikan ketelusan siasatan berkaitan kes itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang serta salah laku tatatertib.
“Kes-kes berkaitan bukan sahaja disiasat bawah aspek jenayah tetapi juga termasuk dari aspek tatatertib,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai langkah pencegahan diambil Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengatasi kes kematian dalam tahanan.
Selain itu, Bobbey juga meminta KDN menyatakan jumlah kematian tahanan seperti di lokap polis, depoh tahanan imigresen dan lain-lain agensi kerajaan dari Januari 2020 hingga Jun 2021.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, sebanyak 17 kes kematian dalam tahanan polis dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu yang membabitkan kematian tertinggi di Selangor dengan tujuh kes, diikuti Pahang (enam), Johor (dua) dan masing-masing satu kes di Kedah serta Perak.
“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2020, jumlah kematian dalam tahanan polis membabitkan 16 tahanan, iaitu di Pahang yang merekodkan sembilan kes, Terengganu (dua) dan masing-masing satu kematian di Perlis, Perak, Melaka, Johor serta Sabah.
“Tahanan bawah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021, sebanyak 113 kematian tahanan di depoh imigresen dilapor membabitkan 53 orang pada 2020, manakala hingga Jun 2021 pula membabitkan 60 orang. Hingga 15 Mac lalu, sebanyak 27 kematian akibat COVID-19 dilaporkan,” katanya.
Bagi jumlah kematian dalam penjara, Ismail berkata, 12 kematian dilaporkan tahun lalu dengan tujuh kematian banduan direkodkan di Penjara Kluang, Johor, dan masing-masing satu kematian di Penjara Sungai Udang, Melaka; Penjara Simpang Renggam, Johor; Penjara Bentong, Pahang; Penjara Wanita Kajang, Selangor; dan Penjara Satelit Kuala Kangsar, Perak.
Bagi 2020, jumlah kematian dalam penjara membabitkan 13 banduan, iaitu tujuh kematian di Penjara Kluang, dua kematian di Penjara Sungai Udang, dan masing-masing satu kematian di Penjara Sungai Buloh, Selangor; Penjara Kota Kinabalu, Sabah; Penjara Taiping, Perak; serta Penjara Pokok Senam, Pulau Pinang.
“KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil berat mengenai hak asasi tahanan di semua lokap PDRM seluruh negara, termasuk usaha mengatasi kes tahanan mati ketika di bawah pengawasan PDRM.
“Justeru, untuk menambah baik pengurusan tahanan dalam lokap, PDRM telah menyediakan garis panduan standard lebih ketat termasuk dalam menguruskan tahanan yang sakit, meningkatkan kekerapan rondaan pada waktu malam serta penambahan anggota yang menguruskan tahanan,” katanya.
Ismail berkata, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan 684 lokap polis, IPD dan ibu pejabat kontinjen PDRM sedang dilaksanakan bagi mengawasi dan memantau Orang Kena Tahan (OKT) bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku di dalam lokap. – BERNAMA