23 MAC: Kerajaan akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans kepada isi rumah miskin yang berdaftar dalam eKasih melibatkan kira-kira 268,000 keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isi rumah miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian ketua isi rumah itu akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun.
Beliau berkata, insiatif itu antara empat tindakan yang bakal dilaksanakan bagi memperkukuhkan sistem perlindungan sosial negara.
Katanya, kerajaan menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) sudah mengenal pasti mekanisme perlindungan sosial yang lebih dinamik, fleksibel serta mampu bertindak balas dengan sebarang risiko yang dihadapi Keluarga Malaysia.
“MySPC pada hari ini melancarkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan) melibatkan 167 program daripada 17 kementerian atau agensi.
“Ia mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga tahun 2020 dan program-program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian atau agensi terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, langkah-langkah yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan membantu untuk memantapkan agenda perlindungan sosial untuk mencapai miskin tegar sifar menjelang 2025 sebagaimana dihasratkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Perdana Menteri berkata, antara pendekatan lain yang dicapai menerusi mesyuarat berkenaan ialah memperkasakan agenda perlindungan sosial sehingga ke peringkat daerah pentadbiran menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa 2.Ads by Kiosked
Selain itu, kata beliau, tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia ditingkatkan dengan memberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan kepada Ketua Isi Rumah Miskin dan Miskin Tegar yang berdaftar dalam eKasih.
Jelas beliau, Malaysia Productivity Corporation (MPC) pula diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti.