23 MAC : Jabatan Meteorologi (METMalaysia) membangunkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih dan tepat mengenai keadaan cuaca semasa.
Aplikasi yang dinamakan Rakan MET itu merupakan platform perkongsian maklumat cuaca seperti hujan lebat, ribut petir, angin kencang, jerebu, gempa bumi atau bencana lain.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, berkata, aplikasi ini dibangunkan untuk perkongsian maklumat dengan pengguna, yang berorientasikan perkhidmatan komuniti dan perkongsian pintar.
“Setiap pelaporan yang dikongsikan adalah berdasarkan tetapan lokasi semasa telefon pengguna melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
“Selain itu, aplikasi ini turut menyediakan maklumat ramalan cuaca semasa dan maklumat ini tersedia dalam sela masa 30 minit untuk tempoh sehingga tiga jam,” katanya menerusi satu kenyataan sempena pelancaran RakanMET hari ini.
Aplikasi berkenaan menurutnya boleh dimuat turun melalui Google Play secara percuma dan akan diperluaskan untuk pengguna Apps Store.
Dalam pada itu, sempena Hari Meteorologi Sedunia, yang disambut pada 23 Mac setiap tahun, METMalaysia akan mengadakan sesi Pocket Talk bertajuk Amaran Awal dan Tindakan Awal, yang diadakan secara langsung melalui Facebook, ujarnya.
“METMalaysia mengambil inisiatif sambutan ini untuk menyalurkan maklumat, seterusnya meningkatkan kesedaran awam mengenai maklumat, nasihat dan amaran berkaitan meteorologi, geofizik dan tsunami.
“Pengetahuan mengenai cuaca ekstrem, risiko bencana seperti banjir dan kesan perubahan iklim terhadap negara, penting untuk sesebuah komuniti. Maklumat ini dapat memberi panduan dan membantu masyarakat lebih ‘celik cuaca’ dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana,” katanya lagi.
Malaysia antara 193 negara anggota Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), yang menyambut Hari Meteorologi Sedunia, hari ini, dengan tema Amaran Awal dan Tindakan Awal.