23 MAC: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengemukakan permohonan pembinaan jambatan bagi menghubungkan kawasan pulau di Teluk Renjuna ke Bandar Tumpat di Kelantan.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KPLB telah memperoleh brif projek daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan dan akan mengemukakan permohonan projek ini dalam Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP-3, RMKe-12) kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
“Skop projek yang akan dimohon adalah melibatkan pembinaan dua buah jambatan baharu sepanjang 300 meter dan jalan tuju sepanjang 1.2 kilometer dengan piawaian JKR R2.
“Sekiranya projek ini diluluskan akan memberi manfaat kepada 2,000 penduduk dan tujuh buah kampung dalam menyediakan laluan utama penduduk di kawasan pulau untuk berurusan ke tanah besar di bandar Tumpat,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berkaitan perkembangan terkini
projek pembinaan sebuah jambatan bagi menghubungkan Pulau Teluk Renjuna ke tanah besar yang menjadi keperluan amat penting kepada penduduk setempat.