23 MAC: Kerajaan bersetuju mencadangkan supaya hakim Mahkamah Syariah, membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu berkenaan sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.
“Sekarang ini satu persatu bawa ke mahkamah untuk selesaikan kes perceraian. Selepas diputuskan perceraian, baru bawa sekali lagi untuk nafkah. Ia kadang-kadang memakan masa yang lama.
“Sebab itu kita bersetuju mencadangkan supaya dibawa terus dua-dua serentak, perceraian dan juga (tuntutan) nafkah untuk isteri dan anak-anak,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi membincangkan mengenai isu membabitkan undang-undang syariah.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan juga memperuntukkan RM5 juta untuk penubuhan Pusat Bantuan Guaman Syarie bagi membantu urusan kes isteri yang teraniya.
Beliau juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara untuk melaksanakan pemotongan gaji suami yang ingkar arahan membayar nafkah.