23 MAC : Ahli Parlimen pembangkang menolak usul melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) menyebabkan kerajaan gagal mendapat sokongan yang mencukupi di Dewan Rakyat petang ini.
Dalam proses undi belah bahagi yang diadakan, hanya 84 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi Ahli Parlimen tidak hadir.
Ini bermakna, subseksyen berkenaan yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret – tidak akan lagi berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022
Usul itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, sebelum ia dibahaskan oleh 19 orang Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Teluk Intan (PH) Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) memohon kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, agar usul tersebut ditentukan secara undi belah bahagi, walaupun dewan sebelum itu bersedia untuk mengadakan undi sebulat suara.
Cadangan Nga itu kemudian diterima selepas mendapat lebih 15 sokongan Ahli Parlimen.
SOSMA digagaskan untuk menyediakan langkah-langkah khas berkenaan kesalahan keselamatan bagi mengekalkan “ketenteraman awam, keselamatan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya”.
Ia dikuatkuasakan untuk menangani kes kesalahan keselamatan dan keganasan dan berkuatkuasa pada 22 Jun 2012, menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).