23 MAC : Dalam usaha menggalakkan industri pelancongan terutama di wilayah selatan Thailand, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk membuka semula semua pintu sempadan darat dengan Malaysia menjelang 1 Mei.
Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn, berkata kementerian akan mencadangkan kepada Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) untuk membuka semula lebih banyak pintu masuk antara kedua-dua negara.
“Kami merancang membuka secara beransur-ansur pusat pemeriksaan lain di Narathiwat, Yala dan Satun yang menghubungkan Malaysia untuk menggalakkan pelancongan di wilayah Selatan.
“Kami jangkakan semua pusat pemeriksaan Thailand-Malaysia dibuka semula pada 1 Mei. Kementerian Pelancongan dan Sukan akan berkoordinasi dengan Kementerian Luar untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai langkah yang akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan sempadan bagi membendung penularan COVID-19,” katanya dipetik portal Inggeris, The Nation, di sini hari ini.
Pada masa ini, Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Songkhla dibuka untuk pelancong namun pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Bukit Kayu Hitam di Kedah dijangka dibuka 1 April.
Mulai 1 April, Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai dijadual menerima kedatangan pelancong antarabangsa.
Rakyat Malaysia menjadi kumpulan terbesar pelancong ke negara itu sebelum pandemik COVID-19. Pada 2019, Thailand mencatat hampir 40 juta pengunjung termasuk 4.1 juta pelancong Malaysia.
Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke Thailand pada 25 Februari lalu, Malaysia dan Thailand secara dasarnya bersetuju melaksanakan perjalanan bebas kuarantin udara, darat dan laut menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan skim Test & Go.
Ismail Sabri dilaporkan berkata, kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan mengenai prosedur bersama pembukaan semula sempadan.
Malaysia akan membuka semula sempadannya mulai 1 April kerana negara itu akan memasuki fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ selepas mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet. – BERNAMA