24 MAC: Majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor dijangka berlangsung Sabtu ini selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau sudah mempersembahkan senarai barisan Exco itu kepada Sultan Ibrahim, pagi tadi.
“Sultan Ibrahim memperkenankan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Exco diadakan pada Sabtu ini di Balai Mengadap Istana Bukit Serene.
“Menjunjung kasih Tuanku,” katanya dalam muat naik di Facebooknya, pagi ini.
Pada 15 Mac lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene.
Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.