24 MAC: Projek pembangunan akademi sukan, Putra Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Pantai Timur tertangguh seketika kerana kegagalan pihak kontraktok dan perunding mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata sehingga Februari lalu, prestasi fizikal projek tersebut telah mencapai 99 peratus.
“Namun begitu Kebenaran Merancang (KM) bagi projek ini telah dibatalkan oleh MBKT disebabkan kegagalan pihak kontraktor dan perunding mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Bagi memastikan projek ini dapat diteruskan, permohonan semula KM perlu dibuat melalui prosedur Kebenaran Merancang 48 (KM48),” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negara, Datuk Isa Ab Hamid berkaitan status projek Putra JAKOA di Kuala Terengganu dan perancangan bagi projek tersebut dalam memperkasakan pendidikan belia Orang Asli di Pantai Timur.
Justeru, Abdul Rahman berkata, pihak kontraktor dan perunding dalam proses penyediaan dokumen yang diperlukan oleh MBKT.
Tambahnya, JAKOA juga telah menetapkan sasaran supaya kelulusan permohonan daripada MBKT akan diperoleh selewat-lewatnya pada Julai depan.
Menurutnya lagi, KPLB melalui JAKOA komited dalam memastikan pendidikan dan kemahiran kepada anak-anak Orang Asli terus menjadi agenda utama.
Menerusi projek tersebut, beliau berkata ia dirancang bagi memperkasakan pendidikan belia Orang Asli khususnya yang berumur 13 tahun ke atas.
“Mereka juga akan diberi peluang pembelajaran akademi / TVET sebagai asas kepada perubahan arus perdana.
“Penilaian pemilihan anak-anak Orang Asli adalah berdasarkan potensi mereka dalam bidang sukan/bakat seperti bola sepak, takraw, olahraga dan lain-lain.
“Senario semasa menunjukkan ramai anak-anak Orang Asli telah menunjukkan kecenderungan dalam bidang sukan tetapi mereka tiada peluang untuk mengembangkan bakat mereka. Justeru itu, Putra Asli akan dijadikan pusat setempat untuk mengumpulkan mereka,” katanya.
Putra Asli terletak di dalam kawasan Majlis Sukan Negeri Terengganu. Antara fasiliti sukan yang disediakan adalah seperti Stadium Gong Badak dan Stadium Tertutup yang berhampiran.
Terdapat juga sekolah-sekolah sukan yang berhampiran seperti Sekolah Menengah Ibrahim Fikri (Bitara Bola Sepak), Sekolah Menegah Sultan Sulaiman (Bitara Olahraga) dan Sekolah Menengah Padang Midin (Bitara Hoki / Takraw). Anak-anak Orang Asli boleh ditempatkan di sekolah-sekolah berkenaan.