24 MAC: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) optimis hakim Mahkamah Syariah boleh membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.
Presidennya, Musa Awang berkata PGSM menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.
Katanya, amalan ketika ini, satu persatu kes difailkan ke mahkamah, iaitu diselesaikan kes perceraian terlebih dahulu kemudian barulah difailkan tuntutan nafkah iddah dan nafkah anak-anak.
“Tuntutan nafkah akan memakan masa yang lama sekiranya ada pertikaian antara pihak-pihak berhubung jumlah atau kadar nafkah.
“Tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah kebiasaannya akan tergolong dalam tiga kategori iaitu pengesahan lafaz cerai di luar Mahkamah, perceraian dengan talaq atau Perintah (Seksyen 47 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam); atau perceraian secara taklik (berdasarkan taklik surat nikah) atau fasakh (pembubaran perkahwinan dengan perintah Hakim),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi pengesahan lafaz cerai di luar Mahkamah, semasa isteri hadir untuk memfailkan tuntutan pengesahan perceraian, boleh dapatkan kepastian daripada isteri sama ada berlaku rujuk semula dengan pasangan.
Jelasnya, jika tidak berlaku rujuk atau perceraian talak tiga, maka isteri boleh dinasihatkan untuk memfailkan sekali tuntutan nafkah iddah atau nafkah anak-anak dengan kes-kes yang difailkan tersebut boleh ditetapkan serentak pada tarikh pendengaran yang sama.
“Semasa membenarkan suami melafazkan cerai, Hakim boleh mendapatkan persetujuan pihak-pihak berdasarkan apa yang dinyatakan dalam dokumen permohonan cerai tersebut, berkenaan dengan kadar nafkah iddah dan/atau nafkah anak-anak, untuk dijadikan sebagai Perintah Mahkamah.
“Perceraian secara taklik (berdasarkan surat nikah) atau fasakh, li’an, ia mungkin sukar diputuskan serentak kerana dalam kes-kes sebegini kadang-kadang ia diputuskan tanpa kehadiran suami.
“Berdasarkan peruntukan undang-undang, nafkah anak-anak boleh dituntut sama ada suami isteri telah disahkan bercerai atau belum bercerai,” katanya.