24 MAC : Malaysia akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kesatuan Eropah (EU) berkenaan laporan mengenai dua rakyat Malaysia yang diusir dari Jerman kerana negara EU itu tidak mengiktiraf vaksin
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan pihaknya akan berhubung dengan Kedutaaan EU untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.
Khairy turut memaklumkan, rakyat Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan suntikan vaksin tambahan jika perlu, khususnya untuk melawat negara tertentu.
“Saya akan menghubungi duta EU bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu. Dalam dasar kita dan ciri MySejahtera, sebenarnya rakyat Malaysia boleh meminta dos tambahan untuk tujuan pengembaraan jika mereka mahu. Mereka boleh minta dan kita akan pertimbangkan.
“Dari segi penerimaan Sinovac, sebenarnya tiada masalah di Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, media melaporkan mengenai dua rakyat Malaysia yang menerima vaksin primer Sinovac dan dos penggalak Pfizer yang diusir dari Jerman kerana negara itu tidak mengiktiraf vaksin keluaran syarikat China berkenaan.
Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa EU akan menyenaraikan MySejahtera sebagai antara aplikasi yang diiktiraf negara anggota itu.
“Saya dimaklumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) semalam, bahawa EU akan menyenaraikan MySejahtera sebagai aplikasi yang diterima oleh sistem yang diguna pakai di EU. Ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.