24 MAC : Russia dilaporkan terpaksa menarik balik kebanyakan helikopter tenteranya dari lapangan terbang strategik di bandar Kherson, di selatan Ukraine, memberi petanda tentera Russia mungkin mula berundur dari kawasan selatan Ukraine.
Pemindahan pasukan helikopter itu, yang dibuktikan dengan imej dirakam syarikat pengimejan angkasa lepas, Planet Labs, selama enam hari, berlaku ketika tentera Ukraine terus mengasak untuk merebut semula bandar Kherson yang ditawan sebelum ini oleh tentera Russia.
Kherson adalah bandar besar pertama yang ditawan Russia pada awal perang, namun Russia gagal menguasai wilayah itu secara keseluruhan.
Penguasaan ke atas wilayah Kherson adalah penting bagi sebarang usaha menguasai secara meluas kawasan selatan Ukraine yang lain.
Minggu lalu, tentera Ukraine menyerang lapangan terbang Kherson, menyebabkan kerosakan besar kepada peralatan tentera Russia, yang jelas kelihatan dalam imej satelit dan video selepas serangan itu.
Satu imej yang diambil Isnin lalu menunjukkan pesawat yang kelihatan sebelum ini sudah dikeluarkan, walaupun tentera darat Russia kelihatan masih mengawal lapangan terbang itu.
Di kawasan selatan lain, dilaporkan tentera Russia terpaksa berundur sehingga ke Voznesensk sejauh 100 kilometer.
Satu gabungan pasukan tentera Ukraine dan pasukan pertahanan sukarelawan negara itu dilaporkan turut memusnahkan satu konvoi berperisai Russia di kawasan itu.
Sementara itu, tentera Ukraine juga dilaporkan menguasai semula bandar Makariv di barat ibu kota Kyiv.
Bandar pelabuhan Mariupol bagaimanapun terus dikepung dan dibedil tentera Russia serta pasukan pemisah Ukraine.