25 MAC: Syarikat minyak nasional, PETRONAS menafikan sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung cadangan untuk mengambil alih Sapura Energy Bhd.
“PETRONAS ingin menafikan sepenuhnya laporan dan spekulasi ini. Kumpulan sentiasa dan akan terus dipandu dengan ketat oleh rangka kerja yang telah ditetapkan untuk sebarang pertimbangan pelaburan atau pelupusan.
“PETRONAS ingin menekankan ia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan peserta minyak dan gas, memanfaatkan kepakaran dan keupayaan mereka apabila aktiviti meningkat dengan industri pulih daripada kesan COVID-19,” katanya.
Kenyataan PETRONAS itu sebagai merujuk kepada laporan berita, komen dalam media dan spekulasi baru-baru ini mengenai perbincangan dengan kerajaan mengenai cadangan untuk mengambil kepentingan utama dalam Sapura Energy.
Sapura Energy baru-baru ini melaporkan kerugian bersihnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 meningkat kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Pendapatan merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan oleh peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).