25 MAC: Kelantan membenarkan solat jemaah, Jumaat dan sunat tarawih tanpa penjarakan fizikal di semua surau, musalla serta masjid berkuat kuasa 1 April ini.
Keputusan itu selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik dan mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata pelaksanaan solat fardu, Jumaat dan tarawih, sama ada lapan atau 20 rakaat serta Qiamullail dibenarkan pada bulan Ramadan.
Katanya, semua aktiviti seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah khas atau umum dan program Ihya Ramadan juga dibenarkan seperti biasa tanpa penjarakan fizikal.
“Namun, pihak masjid, surau dan musalla hanya dibenarkan menyediakan sajian berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.
“Hanya jemaah yang tidak mempunyai gejala COVID-19 dibenarkan hadir, manakala yang bergejala tidak dibenarkan hadir,” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka serta diwajibkan membawa sejadah masing-masing dan tidak dibenar bersalam antara satu sama lain.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) masjid, surau dan musalla kekal seperti yang dikeluarkan sebelum ini dan ia selaras dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pihak MAIK mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini. SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla. Tindakan sewajarnya akan diambil jika gagal mematuhi SOP,” katanya.