25 MAC : Golongan miskin dan miskin tegar di negara ini bakal mendapat perlindungan sosial menerusi program Skim Insurans Keluarga Malaysia, satu lagi inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan bakal memanfaatkan kira-kira 268,000 keluarga miskin membabitkan kos keseluruhan RM13.4 juta.
“Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem e-Kasih akan diberi perlindungan insurans dengan premium RM50 setahun.
“Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM10,000, keilatan kekal RM10,000 manakala yang meninggal dunia akibat kemalangan akan menerima RM20,000.
“Pada masa sama, PRU-Takaful BSN 9melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu turut memberi perlindungan insurans RM30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi e-Kasih sejak 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kangar hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyifatkan peralihan fasa endemik bermula 1 April ini bakal memudahkan orang ramai beribadah dan berpuasa sepanjang Ramadan.
Langkah itu menurutnya akan membolehkan rakyat mengimarahkan masjid dan surau bagi menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah tanpa perlu penjarakan fizikal.
“Bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Garis Panduan (GP) terjaga, saya melancarkan program Duta Komuniti Keluarga Malaysia yang berkonsepkan kesukarelawanan yang matlamatnya ialah membudayakan kawalan kendiri dalam kalangan komuniti sepanjang fasa peralihan ke endemik.
“Duta Komuniti akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup. Mereka akan memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian yang bernada lembut, berhemah dan bersopan-santun apabila membuat teguran,” katanya.