26 MAC : Bekalan makanan penting bernilai 2 juta pound (RM10.95 juta), bagi kawasan Ukraine dikelilingi tentera Russia, akan disalurkan Britain kepada negara itu susulan permintaan daripada Kerajaan Ukraine.
Paling teruk terjejas ialah pelabuhan timur Mariupol, bandar dengan 400,000 penduduk yang dikepung sejak awal perang di mana puluhan ribu orang dipercayai masih terperangkap tanpa makanan, bekalan elektrik atau pemanasan.
Lebih sebulan selepas Moscow menyerang Ukraine, tentera Russia gagal menawan mana-mana bandar utama Ukraine dan terpaksa menggunakan meriam dan serangan udara.
Britain berkata, kira-kira 25 lori makanan kering, barang dalam tin dan air akan diangkut melalui jalan raya dan kereta api dari gudang di Poland dan Slovakia ke bandar Ukraine yang paling berisiko.
Penasihat Kemanusiaan Pejabat Luar Britain, Alice Hooper dalam kenyataan berkata, keperluan di lapangan di Ukraine jelas dengan begitu ramai di kawasan terperangkap di ruang bawah tanah, tanpa makanan atau air.
“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi di sempadan untuk memastikan bekalan penting UK ini sampai ke tempat paling diperlukan, secepat mungkin.”