26 MAC : Majlis angkat sumpah ahli-ahli majlis kerajaan negeri (Exco) Johor berlangsung hari ini di Balai Menghadap Istana Bukit Serene selepas senarai kepimpinan diperkenan Sultan Ibrahim Iskandar bagi dilantik dan mengangkat sumpah.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di Facebook beliau Khamis lalu memaklumkan, Sultan Ibrahim sudah memperkenankan senarai barisan Exco yang dipersempahkannya.
Pada 18 Mac lalu, media melaporkan Onn Hafiz, cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.
Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, dengan majoriti 6,543 undi.
Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.