27 MAC: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) hari ini melancarkan bantuan melalui Geran Keluarga Tunggal (GKT).
Antara yang layak memohon ialah Ketua isi rumah (KIR) tunggal, sama ada ibu atau bapa, terutama yang hilang pekerjaan susulan penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata GKT hasil inisiatif PBSMM itu akan bermula dengan projek rintis membabitkan 50 KIR bagi dibantu menjana pendapatan melalui projek keusahawanan, sama ada perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan sedia ada.
“PBSMM akan membuat tapisan sebelum menentukan berapa keperluan, sama ada RM1,000 atau maksimum RM10,000 yang diperlukan peserta.
“Selepas menerima geran, peserta akan dipantau hingga enam bulan dan turut diberikan bimbingan pendidikan serta ekonomi supaya projek keusahawanan mereka berjalan dengan baik,” katanya di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, PBSMM telah menerima sumbangan keseluruhan dana daripada pihak SHELL Malaysia sebanyak RM 1.7 juta dan RM150,000 akan digunakan bagi memulakan inisiatif tersebut.
Sumbangan Shell diserahkan Ketua Negara Perhubungan Korporat Shell Malaysia, Cindy Lopez kepada Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Tunku Puteri Intan Safinaz juga memperuntukan kuota Geran Keluarga Tunggal khas kepada 10 individu di Parlimen Titiwangsa.
“Syabas diucapkan kepada SHELL Malaysia. Saya berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu dan menyumbang kepada usaha murni PBSMM supaya lebih banyak keluarga tunggal di Malaysia dapat dibantu,” katanya.