27 MAC: Kerajaan Sabah ketika ini dirujuk sebagai ‘Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN)’, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.
Beliau mengumumkan nama baharu itu pada program lawatan kerja ke Tamparuli berkata, BN juga sebahagian daripada kerajaan yang ditubuhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan dipersetujui kedua-dua pihak.
“Memang itu namanya, GRS-BN walaupun BN bukan gabungan GRS.
“Kerajaan (Sabah) yang ada hari ini adalah kerajaan GRS dan BN,” katanya.
GRS diluluskan pendaftarannya sebagai entiti politik baharu pada 11 Mac lalu, disertai empat parti politik tanpa UMNO, BN dan PAS.
Empat parti terbabit adalah BERSATU, Parti Bersatu Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
UMNO dan BN menjadi rakan GRS dalam kerajaan negeri, sama seperti PAS menerusi kapasiti sebagai komponen Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, Pengerusi BN dan UMNO Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, adalah tidak adil jika tidak menyebut BN ketika merujuk kerajaan negeri ketika ini walaupun gabungan itu tidak bersama GRS.
Bung Moktar kemudian mencadangkan kerajaan negeri yang memerintah dinamakan sebagai ‘GRS BN’ supaya berlaku adil kepada BN yang menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.