28 MAC: Filipina dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan latihan ketenteraan terbesar secara bersama hari ini sekali gus menandakan hubungan pertahanan semakin erat antara dua negara itu.
Latihan ketenteraan itu merupakan kali terakhir dilakukan di bawah pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte yang akan berundur tidak lama lagi.
Hampir 9,000 askar Filipina dan AS mengambil bahagian dalam acara latihan selama 12 hari di seluruh pulau utama Luzon, yang biasanya menjadi tempat acara tahunan tetapi dibatalkan atau disekat susulan pandemik COVID-19.
Ketua Tentera Filipina, Jeneral Andres Centino, pada majlis perasmian di Manila berkata, pusingan terbesar latihan ketenteraan Balikatan mencerminkan ‘perikatan mendalam’ antara kedua-dua negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Mejar Jeneral AS, Jay Bargeron, berkata ‘persahabatan dan kepercayaan’ antara angkatan tentera masing-masing akan membolehkan mereka ‘berjaya bersama-sama merentasi seluruh spektrum operasi ketenteraan’.
Latihan itu akan meliputi keselamatan maritim, operasi amfibia, latihan tembakan langsung, menentang keganasan dan bantuan kemanusiaan serta bencana.
Gerakan terbaru antara kedua-dua negara tertumpu kepada potensi konflik di Laut China Selatan, yang didakwa Beijing hampir sepenuhnya sudah menjadi miliknya.
Sejak mengambil alih pentadbiran pada 2016, Duterte bergerak ke arah lebih dekat dengan China, tetapi selepas menghadapi tentangan ramai warga Filipina serta kebimbangan terhadap cita-cita perluasan wilayah China di perairan terbabit.
Sejumlah trilion dolar dalam perdagangan melalui laut strategik terbabit dan ia dianggap mengandungi deposit petroleum yang kaya, menjadikannya punca perbalahan serantau yang kerap.
China juga mengabaikan keputusan 2016 oleh Mahkamah Tetap Timbang Tara yang berpangkalan di The Hague bahawa tuntutan sejarahnya adalah tanpa asas.
Negara itu sebaliknya mengukuhkan pendiriannya dengan membina pulau buatan di atas beberapa terumbu yang dipertikaikan dan memasang senjata di atasnya.
Masa depan latihan ketenteraan itu diragui selepas Duterte pada Februari 2020 mengatakan, beliau merancang untuk membatalkan Perjanjian Pasukan Pelawat, yang menyediakan rangka kerja undang-undang untuk AS mengadakan latihan dan operasi ketenteraan bersama di Filipina.
Malah beliau mengulangi keputusan itu pada Julai lalu, ketika ketegangan antara Manila dan Beijing mengenai Laut China Selatan memuncak berikutan pengesanan ratusan bot China yang diletakkan di terumbu di luar Filipina.
Latihan itu diadakan ketika seluruh dunia tertumpu kepada pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Duterte yang akan mengakhiri tempoh enam tahun pentadbirannya pada Jun, menyatakan kebimbangan bahawa Filipina ‘terbabit’ dalam konflik itu kerana pakatan keselamatannya dengan AS.
Ia termasuk perjanjian pertahanan bersama dan kebenaran untuk tentera AS menyimpan peralatan dan bekalan pertahanan di beberapa pangkalan Filipina. – AFP