28 MAC: Hubungan dua hala Mesir-Malaysia pada masa akan datang harus menumpukan kepada beberapa sektor dan bidang kerjasama yang berpotensi, termasuk pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
Bidang kerjasama berpotensi itu terutama dalam industri minyak sawit dan perkayuan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi kewangan (FinTech) dan perkhidmatan kesihatan.
Menteri Luar Mesir, Sameh Hassan Shoukry, berkata Malaysia negara maju dalam ICT dan sedang menuju ke arah menjadi hab digital serantau di Asia Tenggara, sekali gus terdapat potensi besar kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang itu memandangkan transformasi digital adalah keutamaan yang tinggi untuk Mesir.
“Ia menawarkan peluang unik untuk mengubah beberapa sektor ekonomi seperti perkhidmatan kewangan, peruncitan, penjagaan kesihatan, pertanian dan pembuatan, di samping mencipta peluang untuk individu dan perusahaan serta memberi kesan kepada pembangunan inklusif dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Sameh Shoukry berkata demikian dalam jawapan temubual bertulis dengan BERNAMA sempena lawatannya ke Malaysia baru-baru ini. Menteri itu mengadakan lawatan sulung tiga hari ke Malaysia mulai 14 Mac bertujuan membina momentum hubungan teguh antara kedua-dua negara.
Mesir rakan dagangan terbesar Malaysia di Afrika Utara. Pada 2021, jumlah perdagangan Malaysia-Mesir bernilai RM3.8 bilion (AS$904.1 juta), peningkatan ketara sebanyak 84.5 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada 2020.
Sameh Shoukry berkata, selain itu, perubahan iklim dan pelbagai sektor berkaitan ekonomi hijau juga antara sektor kerjasama berpotensi, terutama ketika Mesir bakal menjadi tuan rumah Sesi Ke-27 Persidangan Pihak-Pihak (COP) ke-27 bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim ( UNFCCC), November ini.
Mengenai prospek masa depan hubungan Kaherah-Kuala Lumpur, beliau berkata, ia sangat terjamin berikutan momentum positif yang disaksikan menerusi perbincangan dua hala pada tahun lalu di antara beliau dan Menteri Luar Malaysia ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semasa lawatan ke Kaherah pada Jun 2021.
Sebelum pertemuan kedua-dua Menteri Luar, Presiden Mesir Abdel-Fatah al-Sissi dan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun mengadakan perbincangan dalam sesi sidang video yang menjadi inisiatif penting untuk pemimpin kedua-dua negara membincangkan langkah bagi meneruskan hubungan dua hala.
Menteri Mesir itu menyifatkan lawatannya ke Malaysia sebagai ‘lawatan bersejarah’ dalam hubungan dua hala, berikutan pertemuan yang berjaya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri lain, malah menegaskan hubungan Mesir dan Malaysia sememangnya bersejarah dan sudah lama terjalin.
Katanya, meskipun hubungan diplomatik rasmi bermula pada 1959, hubungan antara rakyat sudahpun terjalin beberapa dekad lebih awal pada 1930-an dengan kemasukan berterusan golongan ilmuan dan cendekiawan Melayu muda, yang dihantar ke Universiti Al-Azhar untuk menerima pendidikan agama.
Sameh Shoukry berkata, bilangan pelajar Malaysia yang belajar di Mesir terus meningkat sejak beberapa tahun lalu dan kini terdapat lebih 7,000 pelajar dari negara ini yang menuntut di sana, dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, farmasi, pergigian dan bidang penyelidikan saintifik yang lain. – BERNAMA