28 MAC : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan mesej tular yang mendakwa status vaksinasi COVID-19 individu yang tidak menerima dos penggalak akan dihilangkan pada minggu depan.
KKM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, mesej yang tular itu adalah palsu di mana status penerima vaksin Sinovac serta penerima vaksin premier yang berusia 60 tahun ke atas akan berubah kepada tidak lengkap sekiranya tidak mengambil dos penggalak dan bukannya dihilangkan.
“Status vaksinasi COVID-19 penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin primer berusia 60 tahun dan ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak selepas layak, akan hanya bertukar menjadi tidak lengkap selepas 31 Mac,” kata kenyataan tersebut.
Terdahulu, mesej disebarkan melalui media sosial, antara lain meminta penerima vaksin membuat tangkap layar status vaksinasi masing-masing dan menyimpannya kerana kerajaan didakwa akan memadamkan status vaksinasi kira-kira dua juta penerima vaksin yang masih enggan mendapatkan dos penggalak.
Mesej itu juga menyarankan orang ramai berbuat demikian sebagai langkah berjaga-jaga jika status vaksinasi masing-masing terpadam secara tidak sengaja oleh aplikasi MySejahtera.
Pada 24 Februari lalu, media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata KKM tidak akan melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak yang ditetapkan sehingga 31 Mac ini kepada penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas serta individu berusia lebih 60 tahun yang layak.
Kegagalan berbuat demikian selepas tarikh berkenaan akan menyebabkan status vaksinasi mereka bertukar menjadi tidak lengkap bermula 1 April ini.