29 MAC : Sebanyak 15,668,773 individu dewasa atau 66.6 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini sudah menerima dos penggalak COVID-19 setakat semalam.
Berdasarkan laman web COVIDNOW, sejumlah 22,950,073 atau 97.5 peratus daripada populasi sama sudah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,226,244 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,849,642 individu atau 91.6 peratus daripada kumpulan itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,946,672 atau 94.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sementara itu, untuk populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sejumlah 1,315,497 individu atau 37.1 peratus kumpulan itu sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).
Semalam, sebanyak 41,287 dos vaksin diberikan membabitkan 4,360 suntikan pertama, 1,684 suntikan lengkap dan 35,243 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini 68,745,333 dos.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 54 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Selangor merekodkan kematian tertinggi sebanyak 13 kes diikuti Perak (sembilan), Kuala Lumpur (lapan), Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing lima kes.
Johor, Sarawak dan Terengganu pula masing-masing mencatat tiga kes, Kelantan dan Melaka masing-masing dua kes manakala Pulau Pinang satu kes.– BERNAMA