29 MAC: Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab pameran bertaraf dunia di peringkat Asia menerusi pelbagai kerjasama strategik dengan syarikat pameran terbesar dunia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sejak beberapa tahun lalu, negara dikenali sebagai destinasi popular untuk pelancong perniagaan dan percutian antarabangsa.
Katanya, berikutan itu ramai penganjur antarabangsa turut memilih negara ini sebagai destinasi untuk mengadakan persidangan dan mesyuarat.
“Penganjuran acara perniagaan yang dilakukan itu dilihat turut menjadi pemangkin pertumbuhan sosioekonomi dengan faedah yang melangkaui pelancongan.
“Justeru secara tidak langsung ia merangsang perniagaan untuk syarikat berkaitan hospitaliti juga,” katanya, di Kuala Lumpur, hari ini.
Nancy berkata, berdasarkan kajian, rata-rata pelancong perniagaan juga dilihat berbelanja tiga kali ganda lebih banyak daripada purata pelancong biasa.
“Malah kira-kira 40 peratus daripada mereka akan melancong bersama pasangan dan 60 peratus daripada mereka kembali sebagai pelancong semula.
“Justeru seiring dengan pembukaan sempadan negara 1 April ini juga, pelbagai persediaan sudah dilakukan untuk menerima kedatangan pelancong asing.
“Kita mesti bekerjasama dan mempromosikan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi acara perniagaan bertaraf dunia, malah layanan mesra dan masakan etnik yang lazat,” katanya.