29 MAC: Permintaan gas tempatan daripada sektor bukan tenaga dijangka meningkat dalam tempoh pasca-COVID-19 apabila industri tempatan kembali kepada operasi optimum, demikian menurut Petronas Gas Bhd (PGB).
Pengerusinya, Adnan Zainol Abidin, berkata peningkatan permintaan akan disokong oleh ketersediaan bekalan gas saluran paip huluan serta import gas asli cecair (LNG).
“PGB menjangkakan permintaan gas meningkat secara beransur-ansur dengan pengurangan berperingkat loji jana kuasa arang batu untuk penjanaan elektrik yang akan digantikan dengan loji jana kuasa gas baharu.
“Ini seiring dengan langkah oleh bank dan pembiaya baru-baru ini untuk menerima portfolio pelaburan yang lebih hijau,” katanya dalam Laporan Bersepadu 2021 yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, walaupun persekitaran perniagaan amat mencabar ekoran pandemik COVID-19 serta ketidaktentuan ekonomi dan industri, PGB dan rakan kongsinya dapat meningkatkan dan merekodkan prestasi berdaya tahan pada 2021 di samping memastikan jaminan bekalan gas Malaysia.
PGB berjaya mengharungi cabaran 2021 dengan menjana perolehan RM5.65 bilion, satu peratus lebih tinggi daripada RM5.59 bilion yang dilaporkan pada 2020, dipacu terutama oleh sumbangan lebih baik daripada segmen utiliti dan regasifikasi, katanya.
Adnan berkata, dalam melangkah maju, pembangunan mampan mesti disepadukan dalam semua aspek rantaian nilai perniagaan untuk sesebuah syarikat berjaya dan mencipta nilai jangka panjang bagi pemegang kepentingannya.
“Menerusi langkah memanfaatkan empat teras strategik iaitu Kecemerlangan Operasi, Kecemerlangan Komersial, Pertumbuhan serta Insan, Sistem dan Budaya, kami meletakkan asas yang kukuh untuk perniagaan yang teguh dan berdaya tahan, yang boleh bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan dalam persekitaran perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, PGB optimis untuk merekodkan prestasi yang berdaya tahan pada 2022 di samping terus melaksanakan projek pertumbuhannya. -BERNAMA