29 MAC: Bekas pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich dipercayai diracun sebagai usaha mensabotaj rundingan damai Russia-Ukraine, lapor Wall Street Journal pada Isnin.
Abramovich yang merupakan peruncing Russia dan dua perunding Ukraine turut diracun. Perbuatan itu dipercayai dilakukan kumpulan penyokong tegar pro-Rusia.
Akibatnya mereka mengalami gejala seperti mata merah, mata berair yang menyakitkan dan kulit mengelupas di muka dan tangan, menurut sumber yang dipetik oleh akhbar tersebut.
Bagaimanapun, Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak tidak mengesahkan kejadian itu.
“Semua anggota pasukan rundingan bekerja seperti biasa. Terdapat banyak spekulasi mengenai maklumat dalam media dan pelbagai teori konspirasi,” katanya seperti dilaporkan AFP.
Tidak jelas siapa yang mungkin melakukan serangan itu tetapi mereka yang disasarkan menyalahkan penyokong tegar di Moscow yang cuba mengganggu rundingan berterusan untuk menamatkan perang, lapor akhbar berkenaan.
Keadaan Abramovich yang juga seorang bilionair dan perunding lain dilaporkan bertambah baik dan nyawa mereka tidak dalam bahaya.
“Ia tidak bertujuan untuk membunuh, ia hanya amaran,” kata Christo Grozev iaitu bekas wartawan dan kini seorang penyiasat dengan sebuah kumpulan pemberita penyiasatan, Bellingcat kepada akhbar tersebut. – Agensi