30 MAC: Amerika Syarikat (AS) meluluskan pemberian dos keempat vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk mereka yang berumur 50 tahun ke atas semalam.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu juga diambil selepas mengambil kira bukti yang menunjukkan dos penggalak tambahan, diberikan empat bulan selepas yang terakhir berupaya meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 yang teruk.
Individu mengalami masalah imun terjejas yang menerima empat suntikan, dengan terbaharu sekurang-kurangnya empat bulan lalu, kini layak menerima dos kelima.
Ia termasuk mereka yang hidup dengan pemindahan organ tertentu.
Vaksin Pfizer diberikan kepada individu dengan masalah imun terjejas yang berumur 12 tahun ke atas, manakala vaksin Moderna khusus untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
Bukti semasa menunjukkan beberapa pengurangan perlindungan dari masa ke masa terhadap hasil serius daripada COVID-19 pada individu yang lebih tua dan mengalami masalah imun terjejas ,” kata saintis kanan FDA Peter Marks, menjelaskan keputusan itu.
FDA memaklumkan data dari Israel, yang sudah mengkaji kesan dos keempat diberikan empat bulan selepas dos ketiga terhadap 700,000 orang, mendapati suntikan tambahan itu selamat.
Ia juga memetik data daripada kajian terhadap 154 pekerja kesihatan yang tahap antibodinya, termasuk terhadap varian Delta dan Omicron dipulihkan ke tahap tinggi, dua minggu selepas dos keempat mereka. – AFP