Bekalan daging, ayam cukup untuk Ramadan, Syawal
30 MAC : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan daging mencukupi pada Ramadan dan Syawal ini, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata, bekalan daging tidak terjejas walaupun negara perlu bergantung kepada daging import iaitu 70 peratus kerana pengeluaran daging tempatan atau tahap sara diri (SSL) industri itu hanya sekitar 21 peratus.
“Kita banyak mengimport (daging) antaranya dari India, Pakistan, Australia dan setakat ini pengimportannya adalah stabil, tiada gangguan.
“Kita di kementerian akan sentiasa memantau untuk memastikan bekalan daging mencukupi bukan saja ketika perayaan, tetapi juga bekalan harian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jubli Emas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah intervensi jangka pendek menerusi pemberian subsidi kepada penternak bagi meningkatkan pengeluaran telur dan ayam.
Ditanya mengenai perkembangan bagi penyelesaian tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi usahawan tani, beliau berkata, kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh lesen itu.
“Ada isu dan cadangan dikemukakan mengenai pajakan tanah di beberapa negeri yang menyatakan tempoh pajakan itu terlalu singkat (iaitu) tiga tahun untuk bangunkan industri agro makanan secara besar-besaran.
“Dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang lalu, MAFI diminta untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan kita sedang lakukan (perbincangan),” katanya.
Beliau berkata, kementerian dan pengurusan tertinggi kerajaan juga akan meneliti cadangan penggiat industri untuk menilai dan memanjangkan tempoh lesen sedia ada bagi meningkatkan pembangunan industri agro makanan.
Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, hasil mesyuarat EAC, kerajaan bersetuju MAFI berbincang dengan kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh TOL yang dihadapi usahawan tani. – BERNAMA